Soalan SPM Bahasa Melayu 2019 Kertas 1
BAHAGIAN B: SOALAN 2
Pembuangan sampah
adalah salah satu punca pencemaran yang semakin serius pada alam sekeliling
kita. Ini disebabkan oleh segelintir masyarakat yang membuang sampah di
merata-rata kerana mereka tidak mahu
bergerak jauh untuk ke tempat pembuangan sampah atau tidak mahu membayar yuran
penggunaan tapak pelupusan sampah, lalu mereka menceroboh kawasan awam. Selain
itu, sikap tidak bertanggungjawab individu dan masyarakat yang membuang sampah
sesuka hati dan tidak bermoral ini boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
Di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar
menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari,
berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar. Angka ini terus meningkat
dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik.
Pembuangan sampah sesuka hati bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia
bahkan juga turut mengancam hidupan laut. Oleh itu, semua pihak haruslah
berganding bahu mencari jalan penyelesaiannya dengan secepat mungkin sebelum
masalah ini menjadi semakin serius.
Walaupun hanya satu cebisan kecil namun siapa
sangka plastik akan mengambil masa lebih 500 tahun untuk terurai manakala proses
penguraian satu puntung rokok pula mengambil masa 50 tahun. Fakta itu tidak
diketahui umum bahawa ia adalah antara punca longgokan sampah yang semakin
kritikal di negara ini. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak
membuang sampah khususnya beg plastik makanan dan puntung rokok melalui tingkap
kenderaan. Ini adalah tabiat buruk dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai
jenis sampah dibuang dari tingkap kenderaan dengan selambanya kononnya mahu
menjaga kebersihan dalam kenderaan. Ini boleh membahayakan pengguna jalan raya
yang lain.
Kesan pencemaran pembuangan sampah di mana sampah
yang mengandungi kimia atau bahan organik seperti sisa-sisa makanan dan najis,
dibuang secara berterusan ke dalam kawasan air boleh menyebabkan air dikawasan
itu mendapat jumlah nutrien yang berlebihan. Keadaan ini boleh menyebabkan
berlakunya proses eutrofikasi dimana nutrien-nutrien tersebut menyebabkan alga
tumbuh secara berlebihan. Apabila alga-alga tersebut mati, bakteria yang
mereputkan alga tersebut akan menggunakan jumlah oksigen yang tinggi hingga
menyebabkan kehidupan air yang lain tidak dapat hidup akibat kekurangan
oksigen.
Langkah-langkah untuk mengatasi masalah
pembuangan sampah ialah penguatkuasa undang-undang haruslah mengetatkan undang-undang
lagi dengan memberi saman atau penjara atau kedua-duanya bagi sesiapa yang membuang
sampah di tempat awam dan layak diberikan hukum berat bagi sesiapa sahaja yang
membuang rokok di tempat larangan merokok atau di stesen minyak dan sebagainya.
Di samping itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik
anak-anak mereka sejak kecil lagi bagaimana untuk membuang sampah dengan cara
yang betul. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sementara itu, organisasi-organisasi
seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbang
kepada kebersihan alam sekitar mengikut kaedah tertentu. Guru-guru sekolah
harus menanamkan sikap prihatin dan bertanggungjawab kepada alam sekitar
melalui pendidikan moral di sekolah serta mengadakan pertandingan antara kelas
bagi kelas yang paling bersih agar setiap pelajar mempunyai sifat belas kasihan
terhadap alam sekitar.
Dalam pada itu, kita sebagai individu dan masyarakat setempat
memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang patut diamalkan adalah dengan menggunakan
semula barang-barang yang boleh digunakan semula, menggunakan barang-barang
yang dibuat dari barang-barang yang diproses semula dan mengurangkan penggunaan
barang-barang yang tidak diperlukan seperti polisterin. Sikap-sikap sebegini
dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Kita juga haruslah membawa beg
sendiri sewaktu ingin membeli-belah agar penggunaan plastik dapat dikurangkan.
Program kitar semula juga adalah salah satu
langkah yang baik untuk mengelakkan masalah pembuangan sampah. Kebaikan program
kitar semula dari segi sosial ialah pemulihan bahan daripada sampah sarap yang
diurus dengan baik mampu menjana peluang kerja baru dan sampah sarap yang
berasal dari sayur-sayuran atau bahan makanan boleh digunakan sebagai makanan
ternak bagi para penternak yang kekurangan bajet. Kebaikan dari ekologinya adalah
untuk mengekalkan sumber-sumber semula jadi seperti air, tumbuh-tumbuhan,
mineral dan sebagainya.
Selain itu, program kitar semula ini juga
mempunyai kebaikan dari segi ekonomi dan alam sekitar. Dari segi ekonomi,
bahan-bahan hasil kitar semula memerlukan sedikit tenaga di dalam loji
pemprosesan dibandingkan dengan pembuatan daripada bahan mentah semula jadi
yang menyebabkan penjimatan tenaga. Pemakaian semula hasil kitaran semula boleh
menurunkan kos pengimportan bahan-bahan bagi negara-negara yang sedang
membangun. Bahan-bahan seperti logam, kertas, kaca, plastik dan getah jika
dikitar semula boleh mengurangkan pengimportan dari negara lain. Kebaikan dari
segi alam sekitar pula ialah amalan pengitaran semula boleh mengurangkan
kuantiti bahan buangan yang patut dilupus di samping mengurangkan tempat yang diperlukan
untuk tapak pelupusan. Dalam pada itu, pengitaran semula juga boleh menyuburkan
tanah terutama sekali kepada para petani yang sibuk bercucuk tanam.
Pembuangan kertas dan botol minuman
merata-rata telah meningkatkan kos pembersihan dan pelupusan sampah yang
merugikan. Oleh yang demikian, sewajarnya tong-tong kitar semula diwujudkan di
mana-mana khususnya bangunan pejabat, restoran dan pusat komersil untuk
pembuangan kertas, botol, tin aluminium dan sebagainya supaya bahan-bahan
tersebut diproses selain dikeluarkan semula bagi tujuan penggunaan industri
sekaligus merendahkan keperluan pembersihan dan pelupusan. Di samping itu juga,
keputusan Alam Flora menyediakan tong sampah percuma di setiap rumah merupakan
langkah bijak yang bukan sahaja memudahkan pengurusan sisa pepejal yang lebih
sistematik tetapi juga dapat memudahkan penduduk mengumpul sisa pepejal sebelum
dihantar untuk dilupuskan.
Tambahan lagi, sisa pepejal yang paling kerap
ditemui ialah plastik. Oleh yang demikian, penggunaan plastik dalam industri
makanan dan di pusat-pusat membeli-belah telah menyebabkan pertambahan sampah
sarap. Lebih-lebih lagi pula plastik dalam kegunaan harian kita memakan masa di
antara 10 hingga 1,000 tahun untuk mereput. Oleh yang demikian, cadangan
pengurangan penggunaan plastik dapat mengurangkan sisa pepejal yang mana
penggunaan plastik sebenarnya boleh diganti dengan bakul kertas. Meminimumkan
penggunaan plastik juga dapat mengurangkan penggunaan minyak petroleum untuk
tujuan penghasilan plastik.
Kesimpulannya, kesemua langkah ini wajarlah
dijalankan dengan cara yang betul supaya dapat mengelakkan masalah pembuangan
sampah. Memelihara alam sekitar dengan bersih merupakan tanggungjawab bagi
semua lapisan masyarakat. Dapatlah kita lihat bahawa pembuangan sampah
merata-rata juga dapat menjatuhkan maruah masyarakat Malaysia jika dilihat oleh
pelancong luar. Sikap yang tidak seiring dengan status kemajuan negara tidak
patut berlaku di negara kita. Di mana adanya negara bersih, disitulah rakyatnya
yang sihat.
Comments
Post a Comment