Sejarah Dan Asas Pemahaman Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV)

Virus ini boleh dikaitkan dengan konsep zoonosis, iaitu sejenis penyakit yang dipindahkan melalui haiwan kepada manusia. Daripada penyakit yang disebabkan oleh Human Immunodeficiency Virus (HIV), virus Ebola selesema burung, demam kepialu dan yang terbaru, coronavirus merupakan jenis penyakit berjangkit yang dibawa oleh haiwan kepada manusia. Sebenarnya, jangkitan coronavirus ini bukanlah merupakan satu penyakit berjangkit yang baru. Sejak tahun 2003 lagi telah diketahui bahawa coronavirus berpotensi untuk menjadi penyakit zoonosis yang mempunyai kebolehan untuk berpindah daripada haiwan kepada manusia.

Di zaman moden ini, 2 serangan yang berlaku iaitu SARS-CoV dan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) mulai mendapat perhatian daripada masyarakat di seluruh dunia kerana penyakit ini meningkatkan kadar kematian yang agak tinggi berbanding sebelum ini.

Pada bulan Disember tahun 2019, pesakit- pesakit yang masuk ke hospital, di mana kebanyakkan mereka berasal daripada Wuhan, China mula menyebabkan masyarakat panik kerana kadar kematian dan prognosis untuk mana-mana pesakit yang dijangkiti oleh virus ini amat buruk. Usaha untuk mengepung dan mengasingkan pesakit-pesakit ini daripada membolehkan pesakit-pesakit ini keluar daripada Wuhan kelihatan terlalu lambat kerana kes demi kes yang dilaporkan mulai menjangkiti masyarakat di seluruh dunia.

Apa yang memburukkan lagi keadaan adalah apabila penularan wabak ini terjadi apabila masyarakat di sana bersedia untuk menyambut sambutan tahun baru Cina. Ada yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bersama keluarga semasa perayaan tersebut walaupun mereka telah diberitahu mengenai risiko yang bakal berlaku kepada mereka semua. Apa yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah tindakan kerajaan China sendiri yang sibuk menangkap mana-mana penulis yang menulis mengenai kes penularan wabak penyakit ini malahan bukannya berusaha untuk merancang strategi dan langkah-langkah yang patut untuk menangani masalah ini.

Di mana-mana laman web perubatan, terdapat para doktor menamakan spesis yang mula menyerang manusia ini sebagai novel-coronavirus atau dipanggil dengan singkatan 2019-nCoV. Maksud terminologi novel yang digunapakai dalam perubatan adalah baru dan tidak pernah diketahui sebelum ini. Dalam kes ini, para saintis yang membuat penyelidikan terperinci sejak daripada kemunculan wabak ini adalah jangkitannya memang disahkan berasal daripada keluarga coronavirus, namun, mempunyai perbezaan daripada segi struktur RNA (genetik) serta potensinya untuk menyebabkan seseorang pesakit itu maut.

Sejak kali pertama diketahui lagi, iaitu pada 31 Disember 2019 sehingga pada hari penulisan ini dibuat, iaitu pada 2 Februari 2020, laman web European Centre for Disease Prevention and Control atau ECDC melaporkan bahawa terdapat 11,955 pesakit yang telah disahkan menghidapi jangkitan 2019-nCoV iaitu di China (11 818), Thailand (19), Jepun (15), Singapura (16), Taiwan (10), Malaysia (8), Korea (12), Arab Saudi (4), Vietnam (5), Kemboja (1), Nepal (1), Filipina (1), India (1), Sri Lanka (1), Jerman (7), Perancis (6), Itali (2), Amerika Selatan (2), Russia (2), Finland (1), Sepanyol (1), Sweden (1), Amerika Syarikat (7), Kanada (4) dan Australia (10).

Kesemua pesakit-pesakit ini telah diketahui bahawa mereka mempunyai sejarah lawatan ke negara China kecuali 2 orang pesakit yang berasal daripada Vietnam. Setakat hari ini, jumlah kematian yang disebabkan 2019-nCoV ini mencapai 259 orang, 249 daripadanya adalah dari China.

Tambahan lagi, perkataan corona dalam nama coronavirus ini sebenarnya diambil daripada struktur gas yang menyelaputi matahari dan bintang yang lain. Dalam keadaan biasa, bahagian corona ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana cahaya yang dikeluarkan daripada matahari ini sendiri terlalu terang sehingga menyebabkan kita tidak dapat melihatnya dengan jelas.

Namun, sewaktu berlakunya gerhana matahari, di saat bulan berada dalam satu garisan diantara bumi dan matahari, bahagian corona ini akan kelihatan dengan lebih jelas. Bentuk coronavirus ini yang bulat, dan terdapat banyak ‘duri-duri’ yang mana sebenarnya adalah terdiri daripada sejenis protein kelihatan hampir sama dengan bahagian corona ataupun crown.

Daripada segi genetik atau kategori untuk coronavirus ini sendiri, spesis ini dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu alpha, beta, gamma dan delta. Jenis yang mempunyai tendensi untuk menjangkiti manusia adalah daripada kumpulan alpha dan beta sahaja. 2019-nCoV berasal daripada kumpulan beta-coronavirus. Cara virus ini merebak adalah melalui udara dan untuk jangkitan virus-virus sebelum ini dan ianya merupakan jangkitan yang agak biasa untuk menyebabkan gejala demam malah selsema di seluruh dunia, merangkumi lebih kurang 30 peratus daripada jumlah kes ini secara keseluruhannya.

Namun, dalam penyelidikan yang dilaksanakan oleh pakar mikrobiologi, mereka mendapati struktur 2019-nCoV mempunyai persamaan diantara 70 hingga 99 peratus dengan SARS-CoV. Mengapa julatnya begitu tinggi perbezaannya iaitu sebanyak 29 peratus? Hal ini adalah kerana genetik yang dimiliki oleh virus ini selalunya tidak konsisten dan mempunyai perbezaan yang amat tinggi walaupun mereka datang daripada keluarga yang sama.

Untuk 2019-nCoV, cara jangkitannya hampir sama dengan Mers-CoV iaitu kemampuannya untuk menembusi bahagian paru-paru manusia jauh lebih dalam. Berdasarkan laporan WHO yang bertarikh 23 Januari 2020, kadar kematian akibat penyakit ini berada pada peringkat rendah, iaitu sebanyak 4 peratus. Walau bagaimanapun, kita harus fahami bahawa untuk masa ini, wabak ini berada pada tahap permulaan sahaja. Apa yang menakutkan adalah daripada segi peratusan mangsa yang terkena jangkitan 2019-nCoV ini meningkat dengan pantas.

Anda bayangkan sahajalah, pada 23 Januari, seramai 581 orang dijangkiti virus ini, dan sehari selepas itu, jumlah mangsa meningkat kepada 900 orang, jumlahnya kini seramai 11955 orang. Juga, mangsa daripada pelbagai negara lain juga bertambah. Terdapat beberapa perbezaan yang menjadikan 2019-nCoV tidak sama dengan coronavirus sebelum ini. Hal ini adalah kerana sifat virus ini yang amat licik dalam memperdayakan sistem imuniti badan kita disamping mempunyai kelebihan yang kita kenali sebagai konsep antigenic-shift dan antigenic-drift.

Mengikut kenyataan Datuk Dr Rushdan Noor, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Januari 2020, 2019-nCoV merupakan salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan keupayaannya untuk menjalani proses antigenic-shift. Hal ini adalah kerana seperti yang kita ketahui, penyakit ini telahpun dikategorikan sebagai sejenis penyakit zoonosis. Proses antigenic-shift ini membolehkan virus ini menjangkiti spesis lain dari masa ke semasa dan kini, telah sampai masanya untuk virus ini menjagkiti manusia pula. Pasukan penyelidik sememangnya akan cuba mencipta satu jenis vaksin, khusus untuk menangani wabak penularan virus ini.

Selalunya, selepas beberapa ketika, kes-kes jangkitan 2019-nCoV akan mulai reda. Gabungan antibodi manusia dan penciptaan vaksin yang baru kelak akan meletakkan masyarakat dunia dalam keadaan selamat, khususnya untuk menangani wabak 2019-nCoV. Akan tetapi, sama seperti virus influenza, 2019-nCoV akan mengalami proses antigenic-drift pula. Ini bermaksud, antibodi yang dihasilkan secara semulajadi melalui sistem imuniti kita sendiri mahupun dengan bantuan vaksin akan menjadi tidak berkesan pula.

Memegang pada konsep "mencegah lebih baik daripada mengubati", pihak KKM mengeluarkan banyak nasihat dan kaedah untuk mengurangkan risiko seseorang itu daripada mendapat penyakit ini. Antaranya termasuklah:
  1. Mencuci tangan dengan sempurna menggunakan sabun mahupun hand-sanitizer
  2. Memakai penutup mulut dan hidung
  3. Mengelakkan daripada berjumpa dengan orang lain yang mempunyai gejala selesema, batuk dan demam.
  4. Mengelakkan diri daripada berkunjung ke ladang haiwan, pasar dan tempat sembelihan haiwan
  5. Mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna
  6. Mendapatkan rawatan sekiranya terdapat gejala demam, batuk atau selesema dalam tempoh 14 hari daripada lawatan.
  7. Menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China buat sementara waktu kecuali sekiranya ada urusan yang tidak boleh dielakkan. Untuk itu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan sejurus selepas pulang ke Malaysia.

Kesimpulannya, kita seharusnya meletakkan diri dalam keadaan berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang diberikan oleh para pegawai perubatan dalam usaha untuk menangani masalah berkaitan 2019-nCoV ini. Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya anda mengalami apa-apa gejala penyakit yang telah disebutkan di atas. Semoga penularan wabak penyakit ini berjaya kita tangani dengan kadar segera.

Comments

Bahasa Kebangsaan

Latihan Soalan Novel SPM